Monday 14 Jul 2014
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default style
  • blue style
  • red style
  • yellow style
Islamisasi Hotel Melalui Pendekatan Hadith Ahkam PDF Print E-mail

Oleh : Najahudin Lateh (UiTM Shah Alam) [Kertas kerja ini dibentang dalam Seminar Pengurusan Perhotelan dan Pelancongan Islam 2010 yang diadakan pada 22 dan 23 Jun 2010 di Bilik Seminar iLQAM, UiTM Shah Alam]

Kertas ini menghimpun dan menganalisis hadith-hadith ahkam (hukum fiqh) berkaitan untuk menonjolkan konsep hotel dan rumah penginapan yang bercirikan Islam. Ia merangkumi gambaran reka bentuk ruang, organisasi dan pekerja serta pelanggan hotel berasaskan panduan daripada hadith-hadith Rasulullah SAW. Kertas ini lebih berbentuk cadangan atau syor tentang beberapa asas kepada pembentukan dan pengurusan sebuah hotel atau rumah penginapan Islam berpandukan neraca hadith sahih. Kertas ringkas ini dirasakan bermanfaat kepada semua pengkaji, pelajar dan pengusaha hotel, homestay, rumah tumpangan atau penginapan supaya dapat mereka bentuk atau mengubah premis sedia ada supaya selari dengan syariah.

 

 

ISLAMISASI HOTEL MELALUI PENDEKATAN HADITH AHKAM

Oleh : 
Najahudin Lateh
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Shah Alam
[Kertas kerja ini dibentang dalam Seminar Pengurusan Perhotelan dan Pelancongan Islam 2010 yang diadakan pada 22 dan 23 Jun 2010 di Bilik Seminar iLQAM, UiTM Shah Alam]

Abstrak

Kertas ini menghimpun dan menganalisis hadith-hadith ahkam (hukum fiqh) berkaitan untuk menonjolkan konsep hotel dan rumah penginapan yang bercirikan Islam. Ia merangkumi gambaran reka bentuk ruang, organisasi dan pekerja serta pelanggan hotel berasaskan panduan daripada hadith-hadith Rasulullah SAW. Kertas ini lebih berbentuk cadangan atau syor tentang beberapa asas kepada pembentukan dan pengurusan sebuah hotel atau rumah penginapan Islam berpandukan neraca hadith sahih. Kertas ringkas ini dirasakan bermanfaat kepada semua pengkaji, pelajar dan pengusaha hotel, homestay, rumah tumpangan atau penginapan supaya dapat mereka bentuk atau mengubah premis sedia ada supaya selari dengan syariah.


Kata kunci : islamisasi, hotel islam, hadith ahkam, makanan halal



1.    PENDAHULUAN

Islam yang berakarkan al-Quran dan hadith memberi cahaya panduan dalam setiap aspek kehidupan manusia. Melalui hadith sebagai contohnya memandu kita bagaimana hendak menjadikan sesebuah premis atau tempat tinggal kita supaya bertepatan dengan Islam. Walaupun bukan secara terus, namun suruhan, larangan dan pedoman lidah mulia Rasulullah SAW menjadikan kita tidak hilang idea dalam perkara ini. Justeru, kertas ini akan melihat beberapa ciri hotel, aspek dan proses islamisasi, iaitu usaha atau proses menjadikan patuh kepada, sejajar atau bersesuaian dengan ajaran agama Islam.  Ini bagi  mewujud serta menguruskan sebuah hotel atau rumah penginapan awam dengan berpandukan hadith ahkam (hukum), iaitu hadith Rasulullah SAW berkaitan perbuatan mukallaf sama ada wajib, haram, sunat, makruh atau harus.  Semua hadith yang dikemukakan dalam kertas ini adalah hadith yang dinilaikan sahih mengikut kajian ilmu hadith.



2.    REKA BENTUK DAN RUANG

(i)    Bilik Air / Tandas

Ruang bilik air dan tandas, sama ada di kawasan hotel atau dalam bilik penginapan adalah suatu yang penting untuk diteliti. Secara asas, Rasulullah SAW melarang buang air kecil atau besar dengan menghadap ke arah kiblat seperti yang diceritakan oleh Salman RA :

“Rasulullah SAW sesungguhnya telah melarang kami menghadap kiblat ketika buang air besar atau kecil, atau beristinjak (membersihkan kotoran) dengan tangan kanan, atau beristinjak dengan batu kurang daripada tiga biji, atau beristinja’ dengan kotoran haiwan atau dengan tulang.”

“Janganlah menghadap kiblat atau membelakanginya akan tetapi menghadaplah ke arah timur atau barat.” 

Justeru, hotel yang bercirikan Islam sepatutnya merancang lokasi dan pelan bilik air dan tandas supaya pelanggan tidak menghadap kiblat ketika qada’ hajat. Kemudahan bilik air seperti paip air untuk beristinjak mestilah ada dan bukannya hanya diletakkan tisu semata-mata. Kelengkapan lain seperti kain basahan, peralatan kecil lain seperti berus gigi, ubat gigi halal dan seumpamanya disyorkan diwujudkan oleh hotel Islam. Ini secara langsung membantu pelanggan supaya mematuhi galakan mandi tidak berbogel dan untuk sentiasa bersiwak. Sabda Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya Allah adalah pemalu dan suka menutupi. Dia menyukai seseorang yang tahu malu dan menutupi dirinya. Oleh itu apabila seseorang daripada kamu mandi, bertutuplah (berlindunglah)”

“Jika tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersiwak (menggosok gigi) pada setiap kali wudhu.”


(ii)    Ruang Bilik

Pihak hotel juga boleh menyediakan ruangan ibadah khas dalam bilik penginapan. Ruangan ini boleh dilengkapi dengan tikar, sejadah, telekung, ketayap, tasbih dan sebagainya bagi memudahkan pelanggan menunaikan ibadah. Selain itu, tanda arah kiblat adalah suatu kemestian selain disediakan al-Quran dan terjemahannya untuk setiap bilik. Ruangan tersebut jangan pula menghadap ke arah bilik air atau tandas. Sebaiknya ia menghadap ke arah dinding hingga tiada orang yang boleh melalui di depannya. Ini suatu peringatan Rasulullah SAW :

“Jikalau orang yang melalui di depan orang yang solat mengetahui dosa yang akan dipikulnya, maka ia lebih baik berdiri empat puluh hari daripada melalui di depannya.”

Suasana di sekeliling bilik penginapan, terutamanya ruangan untuk solat janganlah dipenuhi dengan gambar-gambar yang boleh mengganggu konsentrasi solat. Sabda Rasulullah SAW kepada Aisyah RA :

“Buangkan tiraimu ini daripada kita, sesungguhnya gambar-gambarnya selalu menggangguku dalam solatku.”

Malah, Rasulullah SAW mengingatkan bilik dan ruang yang mempunyai gambar haiwan atau patung tidak akan dimasuki oleh malaikat rahmat seperti sabda baginda SAW :

“Malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar (patung).”


(iii)    Ruang Ibadat/Solat

Solat adalah wajib ditunaikan, terutama pada awal waktu dan dilakukan secara berjamaah. Ini jelas dalam sabda Rasulullah SAW. :

“Solat berjamaah lebih baik daripada solat sendirian sebanyak 27 darjat.”

“Sebaik-baik amalan adalah solat pada awal waktunya.”

Justeru, pihak hotel perlu menyediakan surau atau bilik khas yang dijadikan musalla (tempat solat) dan lengkap dengan tempat wuduk. Ini sebagai langkah mesra mukmin bagi memberi kemudahan kepada pekerja dan pelanggan menunaikan solat lima waktu secara berjamaah. Lebih afdal lagi jika pihak hotel menyediakan imam, bilal dan siak yang bertugas secara tetap pada setiap hari. Laungan azan pula bolehlah dikumandangkan pada setiap waktu solat. Malah, rutin hotel begini juga boleh mengelakkan jin jahat daripada berlindung kerana syaitan takut kepada azan seperti sabda Baginda SAW :

“Apabila diseru (azan) untuk solat, makan larilah syaitan.”

Selain itu, papan tanda dan arah hendaklah jelas selain lokasi surau itu sendiri berada di tempat yang strategik untuk disinggahi oleh pelanggan. Surau atau musalla ini juga hendaklah sentiasa bersih, terjaga dan wangi. Aisyah RA berkata:

“Rasulullah SAW menyuruh membangunkan tempat-tempat solat di kampung dan dijaga kebersihan dan kewangian.”


(iv)    Ruang Dapur, Makanan dan Restoran

Ruang dapur perlu diberi perhatian dalam industri hotel kerana salah satu piawai penilaian hotel adalah pada tahap kebersihannya. Makanan pula mestilah berkualiti, materialnya halal dan daripada sumber yang halal. Dalam hal ini, kebersihan ruang dapur dan kehalalan dan kualiti makanan amat perlu dititik beratkan. Imam al-Ghazali menganggap aspek pemakanan adalah sebahagian daripada urusan agama.  Ini juga selaras dengan pesanan al-Quran dan hadith yang sering menggandingkan istilah halal dan tayyib (baik). Firman Allah SWT :

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) apakah yang dihalalkan bagi mereka. Katakanlah, dihalalkan bagi kamu yang baik-baik.”

“Wahai manusia, makanlah kamu dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

Oleh itu, setiap hotel yang bercirikan Islam hendaklah memenuhi piawai halal yang telah ditetapkan dalam negara seperti garis panduan makanan dan minuman halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan piawai Standard Malaysia MS 1500:2009 (Makanan Halal : Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan – Garis Panduan Umum) Jabatan Standard Malaysia (DSM) di samping selari dengan Akta Perihal Dagangan 1972, GHP (Amalan Kebersihan Baik) dan sebagainya. Hotel dan dapur hotel bercirikan Islam juga mesti mendapat sijil halal. Namun agak menyedihkan kerana menurut JAKIM sehingga akhir tahun 2009, hanya terdapat 52 dapur hotel/resort yang mendapat pengesahan halal.  Sekiranya analisa dibuat terhadap semua hotel yang ada di Malaysia, jumlah ini agak kecil berbanding dengan kualtiti hotel yang besar.

Pihak hotel juga disyorkan memberi nilai tambah kepada ciri keislaman dengan menyediakan minuman dan makanan pencuci mulut daripada makanan yang disebut dalam al-Quran dan hadith seperti madu, zaitun, tin, delima, kurma, kismis dan habbatul sauda’. Galakan ini disebutkan dalam pelbagai hadith antaranya sabda Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya pada habbatul sauda’ itu terdapat penawar daripada setiap penyakit kecuali sam (mati).”

“Wahai Aisyah, rumah yang tiada padanya kurma seperti rumah yang tiada makanan.”


Makanan atau minuman yang haram seperti arak tidak boleh disajikan kepada semua pelanggan, tanpa mengira sama ada Muslim atau tidak. Restoran atau ruang makanan seperti di koridor bilik seminar atau dewan juga disyorkan mempunyai kerusi yang memadai untuk pelanggan. Ini bagi mengelakkan pelanggan makan dan minum secara berdiri yang bukan suatu yang digalakkan seperti sabda Baginda SAW :

“Janganlah salah seorang daripada kami minum secara berdiri.”



3.    ORGANISASI DAN PEKERJA HOTEL

Industri perhotelan mempunyai struktur organisasi yang biasanya terdiri daripada 33 jawatan, iaitu daripada pengurus hinggalah kepada tukang sapu (Mohamad Shahrim, 2003). Namun, secara umum pihak hotel tidak menyediakan jawatan yang terlibat dalam urusan keagamaan. Justeru, hotel bercirikan Islam sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya seorang Pegawai Agama yang boleh memberi  justifikasi kepada sebarang perkara yang melibat hukum hakam. Pegawai Agama dan staf di bawahnya juga boleh berperanan melaksanakan tanggung jawab dakwah dan amar makruf nahi munkar seperti pesanan Rasulullah SAW :

“Sesiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran, makan hendaklah ia ubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan lidahnya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan hatinya dan ia adalah selemah-lemah iman.”

Malah, pihak kerajaan ataupun hotel sendiri perlu mengambil inisiatif untuk mewujudkan Majlis Penasihat Syariah seperti yang terdapat dalam industri perbankan dan takaful negara. Majlis ini boleh berfungsi menasihati, memantau serta mengenal pasti pelaksanaan urusan sama ada dari segi fizikal, makanan dan persekitaran sentiasa berada dalam piawaian syariah. Inilah yang digalakkan oleh Baginda SAW :

“Agama itu nasihat.” Lalu kami (Tamim bin Aus al-Dari) bertanya : Bagi siapa? Lalu (Rasulullah SAW) bersabda : Bagi Allah dan bagi kitabNya dan bagi Rasulnya dan imam-imam kaum Muslimin dan bagi orang ramai.

Hotel bercirikan Islam juga wajib mempunyai kod pakaian yang selari dengan Islam. Oleh itu, setiap pekerjanya mestilah berpakaian Islam menutup aurat, tidak tidak terlalu ketat, tidak pula terlalu longgar serta warna pakaian dan memakai wang-wangian yang berpatutan. Firman Allah SWT :

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita mukminah, hendaklah mereka melabuhkan tudungnya ke seluruh tubuh mereka”

Begitu juga sabda Rasulullah SAW :

“Aisyah RA telah berkata, sesungguhnya Asma binti Abu Bakar menemui Nabi SAW dengan memakai busana yang tipis, lalu Nabi berpaling daripadanya dan bersabda, “Wahai Asma, sesungguhnya apabila wanita itu telah baligh (sudah haidh) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini”, sambil mengisyaratkan pada muka dan telapak tangannya.”

Para pekerja hotel dan rumah penginapan juga perlu menjaga etika ketika bertugas, mengawal pergaulan, personaliti selain bersikap prihatin dan jujur terhadap pelanggan. Semua ini adalah galakan daripada hadith-hadith Rasulullah SAW yang perlu diaplikasikan oleh semua Muslim.



4.    PELANGGAN

Hotel yang bercirikan Islam juga bertanggung jawab ke atas perilaku dan aktiviti pelanggan. Justeru, hotel perlu memastikan pasangan lelaki dan perempuan yang menginap merupakan pelanggan yang sah dari segi hubungan syarak. Mereka yang belum berkahwin dan bukan mahram tidak boleh dibenarkan menginap bersama dalam satu bilik. Sabda Rasulullah SAW :

“Janganlah seorang wanita bermusafir perjalanan kecuali bersama mahram”

“Janganlah seseorang kamu bersunyi-sunyian dengan seorang wanita melainkan bersama-sama mahram.” 

Ini bagi mengelakkan gejala zina yang sangat diharamkan dalam Islam. Kawasan premis hotel mestilah jauh daripada lokasi yang memungkinkan suatu pergaulan bebas dan suasana berdua-duaan berlaku. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah SAW :

“Tidak boleh bersunyian seorang lelaki dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya, sesungguhnya yang ketiga adalah syaitan.”

Oleh itu, hotel sewajarnya meletakkan peringatan dalam pamplet, risalah, papan tanda dan seumpamanya tentang larangan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Selain itu, segala aktiviti dan makanan serta minuman haram seperti arak perlulah disekat daripada dibawa masuk oleh pelanggan. Sabda Rasulullah SAW :

“Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram.”

Allah SWT sendiri mengambarkan arak adalah perbuatan keji yang disukai syaitan. Oleh itu, umat Islam diseru menjauhinya. FirmanNya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang panah adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.



5.    KEMUDAHAN UMUM

Industri perhotelan biasanya menyediakan pelbagai kemudahan sampingan kepada pelanggan seperti televisyen, kelab, kolam mandi, akhbar dan sebagainya. Sebagai hotel bercirikan Islam, perkara ini juga perlu diberi pertimbangan supaya selari dengan syariah. Justeru, televisyen sepatutnya mempunyai saluran informasi Islam dan hanya melanggan saluran bersesuaian seperti pendidikan, selain mengelak melanggan saluran yang tidak bermanfaat. Kelab, pusat hiburan, pusat urut dan sebagainya sewajarnya dipisahkan antara lelaki dan perempuan selain tiada ruang untuk pergaulan bebas dan dalam suasana gelap. Kolam mandi pula wajib dipisahkan lelaki dengan perempuan di samping ingatan penggunaan pemakaian yang sesuai dengan syarak.

Selain itu, pihak hotel juga boleh mengadakan program keilmuan Islam dari masa ke semasa. Risalah dan pelekat peringatan seperti doa harian perlu diedar dan ditampal di tempat strategik serta berkaitan. Program berkala seperti ceramah, kuliah dan bentuk tazkirah bukan lisan seperti di papan notis, banner dan sebagainya juga perlu diberi perhatian. Ini semua memenuhi tuntutan Rasulullah SAW :

“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.”

“Siapa yang menunjukkan (menggalakkan) ke arah kebaikan, maka baginya pahala seperti pahala orang yang melakukannya.”



6.    CADANGAN

Untuk melengkapkan kertas ini, penulis ingin memberi cadangan kepada tiga pihak seperti berikut:

6.1    Kerajaan perlulah mengubal atau meminda akta dan enakmen berkaitan dengan hotel, rumah penginapan dan dagangan supaya selari dengan Islam seperti mewajibkan setiap hotel memperolehi sijil halal dan mempunyai Majlis Penasihat Syariah sebelum boleh beroperasi.

6.2    Pengusaha hotel atau rumah penginapan perlu mengambil inisiatif sendiri bergerak mewujudkan pengurusan dan persekitaran yang lebih Islam seperti yang dibincangkan di atas. Sekurang-kurangnya wujudkanlah seorang pegawai yang berkelulusan agama untuk menguruskan program dan persoalan Islam di premis.

6.3    Pelanggan, terutama umat Islam mestilah menggunakan kuasa pengguna dan pemilih yang ada pada mereka dengan hanya melanggan premis penginapan yang memenuhi piawai halal dan patuh syariah. Begitu juga pelanggan seharusnya berterusan mendesak hotel supaya mengambil persijilan halal dan menyediakan persekitaran yang lebih Islam di premis mereka.


7.    PENUTUP

Secara umum, hotel atau rumah penginapan perlulah mengorak langkah menuju kepada pengamalan Islam semuanya. Islamisasi ini perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Peranan pihak kerajaan juga diperlukan terutama melalui dasar dan penguatkuasaan yang berterusaan. Akhir sekali, pelangganlah yang menjadi kuasa untuk memastikan proses islamisasi hotel ini terus berjalan. Penguasa akan mengikut kuasa pelanggan. Jika ramai pelanggan yang berkehendakkan begitu, pasti penguasa hotel akan mengikutnya.



RUJUKAN

Al-Qur’an al-Karim
Al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar (1994), Bulugh al-Maram. Beirut : Dar al-Jil.
Al-Bukhari, Abu `Abd Allah Muhammad bin Isma`il (1991M), Sahih al-Bukhari. 5 j. Beirut : Dar al-`Asriyah.
Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad al-Tusi (t.t). Ihya’ Ulum al-Din. Kaherah : Dar al-Ihya’ al-Turath al-Arabi.
Al-Hakim, Abu `Abd Allah Muhammad bin `Abd Allah al-Naysaburi (1411H/1990M), Al-Mustadrak `ala al-Sahihayn. Beirut : Dar al-Kutub al-`Ilmiyah.
Ibn Hanbal, Ahmad bin Muhammad bin Hanbal (1413H/1993M), Al-Musnad. 6 j. Beirut : Dar al-Kutub al-`Ilmiyah.
Ishak Hj. Sulaiman, (1999). Jurnal Usuluddin. Dalam Mohamad Kamil Abd Majid et.al (Ed.), Metodologi Penulisan Bulugh Al-Maram Sebagai Kitab Hadith Al-Ahkam (h. 1 - 20). Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Buletin Halal. Disember 2009.
Al-Marbawi, Mohamed Idris (t.t). Bulugh Al-Maram Serta Terjemah Melayu. Kaherah : Matba’ah al-Anwar al-Muhammadiyah.
Ibn Majah, Abu `Abd Allah Muhammad bin Yazid (1994M), Sunan Ibn Majah. Kaherah : Dar al-Hadith.
Malik bin Anas(1413H/1993M), Al-Muwatta’, 2 j. Kaherah : Dar al-Hadith
Mohamad Shahrim Ab. Karim (2003). Kerjaya dalam Bidang Hospitaliti, Kuala Lumpur : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Muslim bin al-Hajjaj (1412H/1991M), Sahih Muslim, 5 j. Kaherah : Dar al-Hadith.
Al-Nasa’i, Abu `Abd al-Rahman Ahmad bin Syu`ayb (1991M), Sunan al-Nasa’i, 8 j. Beirut : Dar al-Ma`rifah.
Al-Nawawi, Abu Zakariya Yahya bin Syaraf (1414H/1994M), Riyad al-Salihin min Kalam al-Mursalin, c. 1. Kaherah : Dar al-Hadith.
Noraesah Baharom. (2007). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Al-Sijistani, Abu Dawud Sulayman (t.t), Sunan Abi Dawud, 4 j. Kaherah : Dar al-Hadith.
Al-Tirmidhi, Abu `Isa Muhammad bin `Isa (t.t), Al-Jami’ al-Sahih, 5 j. Kaherah : Dar al-Hadith.
Al-San’ani, Muhammad bin Ismail. (1993). Subul al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram Min Adillah al-Ahkam. Kaherah : Dar al-Hadith.

 

“Islam adalah suatu sistem universal yang lengkap dan mencakup seluruh aspek hidup dan kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan peradilan, material dan sumber daya alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih”. - Hasan al-Banna

Apakah Islam?
loader

Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

 

  • JoomlaWorks Simple Image Rotator
  • JoomlaWorks Simple Image Rotator
  • JoomlaWorks Simple Image Rotator
  • JoomlaWorks Simple Image Rotator
  • JoomlaWorks Simple Image Rotator